renungan....

6:21 AM Edit This 0 Comments »
Konsep Kerja Dalam Islam
oleh: Dr Asyraf Hj Ab Rahman - 3/27/2006 8:09:43 AM
Kemuliaan seseorang insan itu bergantung kepada apa yang dilakukannya. Dengan itu, sesuatu amalan atau pekerjaan yang mendekatkan seseorang kepada Allah adalah sangat penting serta ada kerelevanannya untuk diberi perhatian. Amalan atau pekerjaan sebegini, selain memperolehi keberkatan serta kesenangan dunia, apa yang lebih penting ianya merupakan jalan (means) atau tiket dalam menentukan tahap kehidupan seseorang di akhirat kelak, sama ada dari golongan ahli syurga atau sebaliknya. Istilah ‘kerja’ dalam Islam bukan semata-mata merujuk kepada mencari rezeki hidup untuk diri dan keluarga dengan berhempas pulas siang dan malam, serta pagi dan petang tanpa mengira waktu atau ketika, tetapi ia mencakupi segala bentuk amalan atau pekerjaan yang mempunyai unsur kebaikan dan keberkatan bagi diri, ahli keluarga dan masyarakat sekelilingnya dan seterusnya negara. Dengan kata lain, orang yang bekerja adalah mereka yang menyumbang jiwa dan tenaganya untuk kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara tanpa menyusahkan orang lain. Lantaran itulah, kategori ‘ahli syurga’ seperti mana digambarkan dalam al-Quran tidak menetapkan kriteria orang yang mempunyai pekerjaan tetap sama ada sebagai pendidik berjaya atau kerani akaun di syarikat-syarikat besar ataupun mekanik berjaya di sesebuah bengkel kenderaan. Sebaliknya al-Quran menggariskan golongan yang baik lagi berjaya (al-falah) itu adalah orang yang banyak taqwa mereka kepada Allah, khusyuk sembahyangnya, baik tutur katanya, memelihara pandangan dan kemaluannya serta menunaikan tanggungjawab sosialnya seperti mengeluarkan zakat dan seumpamanya (lihat Quran, al-Mu’minun: 1-11). Golongan ini, mungkin terdiri daripada pensyarah universiti, pemandu kenderaan, tukang sapu, ataupun seorang yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. Sifat-sifat sebeginilah sebenarnya yang menjamin kebaikan dan kedudukan seseorang di dunia dan akhirat kelak. Jika ditinjau hadis-hadis Rasulullah SAW tentang ciri-ciri manusia yang baik di sisi Allah, maka tidak hairanlah antara mereka itu termasuk golongan yang memberi minum anjing kelaparan, mereka yang memelihara mata, telinga dan lidah dari perkara-perkara nista, tanpa melakukan amalan sunat yang banyak dan seumpama-nya. Dalam satu hadis seperti mana telah diriwayatkan oleh Saidina Umar al-Khattab berbunyi: Bahawasanya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan setiap individu itu dikira berdasarkan apa yang diniatkannya…’ Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW pernah bersabda: Binasalah orang-orang Islam kecuali mereka yang berilmu. Maka binasalah golongan berilmu, kecuali mereka yang beramal dengan ilmu mereka. Dan binasalah golongan yang beramal dengan ilmu mereka kecuali mereka yang ikhlas. Sesungguhnya golongan yang ikhlas ini juga masih dalam keadaan bahaya yang amat besar…’ Kedua-dua hadis di atas sudah cukup menjelaskan betapa niat yang disertai dengan keikhlasan itulah inti pati sebenar dalam kehidupan dan pekerjaan manusia. Alangkah baiknya kalau umat Islam hari ini, dapat bergerak dan bekerja dengan tekun dengan matlamat yang satu iaitu ‘mardatillah’ (keredhaan Allah) itulah yang dicari dalam apa jua urusan yang dibuat. Dari situlah akan lahir nilai keberkatan yang sebenar dalam hidup dengan curahan nikmat Allah yang banyak. Inilah golongan yang diistilahkan sebagai tenang dalam ibadah, redha dengan kehidupan yang ditempuhi, serta optimis dengan janji-janji Allah.

ASMA'UL HUSNA